Mountain View

Menyusuri Januari 2010

Bulan Januari menjadi bulan pertama gerak kerja kita. Mungkin sebahagian daripada Guru Penyelaras Media (GPM) dan Guru Penyelaras Bestari/ICT (GPB/ICT), telah membuat perancangan yang rapi semasa cuti akhir tahun 2009 lagi untuk mengharungi tahun 2010 ini. Bagi GPM dan GPB/ICT yang belum membuat persediaan, mahu atau tidak, inilah masanya untuk membuat perancangan agar aktiviti sepanjang tahun 2010 ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Antara perkara paling pokok yang mesti dilakukan pada awal Januari ini ialah mesyuarat Jawatankuasa Induk PSS dan diikuti dengan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSS. Bincangkanlah mengenai perancangan aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tahun ini. Tentukan tarikh, kumpulan sasaran dan anggaran kosnya sekali. Sebaik-baiknya tentukan siapakah yang akan bertanggungjawab mengendalikan satu-satu program agar tindakan lebih awal boleh diambil untuk melaksanakannya.

Carta-carta organisasi perlu dikemas kini. Tahun berubah, mungkin AJKnya juga berubah. Keadaan bilik-bilik berkaitan sama ada perpustakaan, bilik tayang, bilik ABM, makmal komputer, pusat akses dan sebagainya perlu dalam keadaan bersedia menerima tetamu, iaitu guru-guru dan pelajar kita.

Pelantikan pengawas dan pelajar yang bertugas juga perlu diutamakan agar bilik-bilik tersebut sentiasa ceria. Bimbing mereka agar dapat menjalankan tugas yang telah ditentukan dengan baik. Rekod-rekod peralatan dan penggunaan perlu disediakan dan diselenggara dengan kemas. Begitulah juga halnya dengan sistem fail bagi setiap unit yang berkaitan.

Bagaimana pula dengan pelaksanaan NILAM? Semoga rekod-rekod yang berkaitan dan pelaksanaannya merupakan antara yang terbaik pada tahun ini.

Akhir sekali, selamat bertugas kepada guru-guru warga PSS dan ICT kelompok PKG Kg Bedal: GPM, GPB/ICT, dan guru-guru yang bersama-sama menguruskan perpustakaan, makmal komputer, bilik ABM, bilik tayang, NILAM, pusat akses dan sebagainya. Ingatlah, tiada hadiah atau ganjaran yang paling bermakna dalam kita memberikan khidmat kita selain daripada kepuasan diri sendiri.
Share on Google Plus

About PKG Kampong Bedal

0 ulasan:

Post a Comment